Pelajar cemerlang UPSR DUN Selama dirai

- Advertisement -

LARUT: Seramai lima pelajar cemerlang yang memperoleh A dalam semua mata pelajaran UPSR dari DUN Selama telah mendapat perhatian daripada pihak Pusat Khidmat DUN Selama, di sini baru-baru ini.

- Advertisement -

ADUN Selama, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin berkata, kejayaan mereka sudah pasti menggembirakan hati keluarga kerana pendidikan sangat penting dalam melahirkan generasi berkualiti masa hadapan.

Beliau meraikan pelajar-pelajar dengan memberikan saguhati dan cenderahati melibatkan pelajar SK Sri Selama, Jalan Menteri iaitu Muhammad Haziq Waqiuddin Hilmee dan Muhammad Luqman Jahasrulhizam serta pelajar SK Bagan Baru, Akmal Fathi Mohd Nizam.

Juga kepada pelajar SK Banggol Jad, Balqis Nur Husna Abdullah dan Aireen Adriana Hasrul Effendy yang merupakan antara penerima sumbangan Tabung Dana Prihatin di bawah seliaan Pusat Khidmat DUN Selama.

Rekod Pusat Khidmat mencatatkan hampir 70 peratus dana dan sumbangan orang ramai tersebut telah disalurkan khusus berkaitan pendidikan di samping membantu memenuhi keperluan harian penduduk setempat.

“Perjuangan PAS yang mendasari Islam bertunjangkan al-Quran dan as-Sunnah sangat mengutamakan ilmu pengetahuan, malah telah membuktikan melalui pelbagai Institusi Pendidikan yang berkesinambungan dibangunkan oleh PAS.

“PASTI, SRITI, SMITI dan lain-lain lagi termasuk Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) telah melahirkan ramai lepasannya yang berjaya dalam aliran akademik dan agama,” ujar beliau yang juga Yang DiPertua PAS Kawasan Larut.

Katanya lagi, ilmu adalah segala-galanya dan membolehkan setiap manusia akan dapat  membezakan di antara kaca atau permata, di antara haq atau bathil malah menjadi asbab kepada jalan keluar daripada kemiskinan hidup. – HARAKAHDAILY 5/12/2019

- Advertisement -