Arab Saudi, British, Amerika dan Israel

- Advertisement -

PERMULAAN yang sengit

Arab Saudi merupakan sebuah negara yang mempunyai sejarah yang panjang. Nama lamanya dikenali sebagai Hijaz. Kewujudan kabilah yang banyak di Makkah menjadikan masyarakat Arab hidup terpecah-pecah kepada kelompok. Tanah kelahiran Nabi Muhammad S.A.W ini mengalami perebutan dalam beberapa era, antara yang paling jelas dicatat ialah pertembungan kumpulan Syariff Hussein dan Bani Saud.

Bani Saud merujuk kepada Muhammad bin Saud (meninggal 1765) yang pernah menerima dakwah daripada Muhammad bin Abdul Wahab (1703-1792). Bermula daripada kabilah kecil, akhirnya menguasai Daerah Diriyah di Najd. Pada 1801 mereka menguasai Karbala (Iraq) dan seterusnya menguasai Hijaz (Makkah dan Madinah) pada 1805.

Khilafah Uthmaniah yang dipimpin oleh Sultan Mustafa IV mengarahkan Gabenor Mesir, Muhammad Ali Pasha untuk merampas semula dua Tanah Haram itu daripada keluarga Bani Saud. Ternyata berhasil, dan Bani Saud lari menyembunyikan diri. Namun pada 1824 mereka kembali dengan mengalahkan Mesir di Riyadh.

Kecemerlangan sementara itu tak lama apabila mereka berhadapan konflik sesama mereka menyebabkan Riyadh dikuasai semula. Justeru, sebahagian Bani Saud berlindung di Kuwait. Mereka bangkit semula pada 1902 untuk merampas Riyadh dan seterusnya pada 1913 mereka berpakat dengan geng Badawi yang dikenali sebagai Ikhwan (bukan Ikhwan Muslimin Mesir) untuk meluaskan kuasa.

Berebut Tanah Haram

Pada 1914 dalam krisis Perang Dunia 1, beberapa negara Arab seperti UAE (dengan nama lama), Qatar dan Kuwait berpakat dengan British dalam Tentera Bersekutu untuk menentang Khilafah Uthmaniah. British mengadakan Perjanjian Darin pada 1915 untuk mengawal Bani Saud daripada “mengacau” rancangan mereka memperalatkan Bangsa Arab untuk menentang Uthmaniah. Mereka juga cuba “membodek” pimpinan Uthmaniah di Hijaz, iaitu Syarif Hussein.

British berjanji memberikan sebahagian tanah jajahan Uthmaniah termasuk Makkah dan Madinah kepada beliau, dan berjanji melantik beliau menjadi khalifah sekiranya berjaya mencetuskan kebangkitan Arab. Rancangan membodek ini berjaya, menyebabkan Syarif Hussein bangkit dengan Arab Revolt 1916. Kebangkitan ini menyebabkan beberapa negara Arab isytihar keluar daripada Uthmaniah.

Setelah negara Arab berpecah daripada Uthmaniah, ternyata janji manis British terhadap Syariff Hussein hanyalah capati. Beberapa negara Arab antaranya Palestin, dikuasai oleh Perancis dan British. Makkah dan Madinah yang sepatutnya dihadiahkan kepada Syariff Hussein akhirnya tidak diberikan atas alasan kemaraan geng Bani Saud di dua Tanah Haram itu.

British membekalkan senjata untuk Syariff Hussein bangkit merebut Makkah dan Madinah daripada kemaraan Bani Saud. Serangan itu berjaya. Pada 1924 apabila ranapnya Khilafah Uthmaniah, Syarif Hussein bangkit mengiktiraf dirinya sebagai Khalifah Islam sepertimana yang disepakati dengan British. Ternyata pengiktirafan tu sekadar “syok sendiri” membuatkan geng Bani Saud kembali bangkit menyerang Makkah Madinah.

Bani Saud juga turut menerima bekalan senjata daripada British, dan akhirnya menyebabkan Syarif Hussein dikalahkan pada 1925. Di sini lah bermulanya era pembinaan Negara Arab Saudi oleh Bani Saud dengan mendapat pengiktirafan British melalui Perjanjian Jeddah 1925. Arab Saudi ketika itu bangun sebagai sebuah negara lemah, hanya bermodalkan perolehan daripada ibadah haji setiap tahun.

Arab Saudi dan projek Amerika

Sejak 1922 lagi British sudah mula mencari minyak, dan diikuti oleh Amerika pada 1927, sehingga tertubuhnya Standard Oil Of Callifornia (Socal). Daripada syarikat ini, muncul pula ExxonMobil dan Chevron. Pada 1933 Arab Saudi yang baru ditubuhkan memberi ruang kepada Socal untuk mencari-gali minyak di negaranya, sehinggalah mereka menemui loji minyak di Persisiran Teluk Persia pada 1938 atas nama baru California Arabian Standard Oil Company (Casoc)

Muqaddimah perang dunia kedua khususnya pada 1939 menyaksikan Amerika dan rakan-rakannya membeli minyak Arab Saudi sebagai pelanggan tetap, menjadikan mereka “kaya sekelip mata”. Pada 1944 Syarikat Casoc atas nama California bertukar kepada Arabian American Oil Company (Aramco) hingga ke hari ini. Sejak 1939 hingga 1973 khususnya menunjukkan jualan minyak mereka melonjak, apabila ia “dilanggan” oleh Amerika yang mendokong Israel.

Hinggalah ke hari ini, Arab Saudi asalnya sebuah negara yang mundur, berubah kepada sebuah negara yang kaya dengan hasil buminya. “Buyer” tetap minyak Saudi ialah Amerika sendiri yang merupakan kuasa besar hari ini, dan juga Israel yang “menyorok” di belakang Amerika. Ini menjadikan hubungan mereka “kamcing”, iaitu Arab Saudi memerlukan perlindungan Amerika sebagai kuasa besar, dalam masa yang sama Amerika memerlukan minyak Saudi.

Normalisasi Arab Saudi terhadap Israel

Sebelum ini saya ada menulis tentang Normalisasi hubungan terhadap Israel yang juga mendapat sokongan daripada Amerika [1]. Normalisasi ini ke arah “husnuzzon” terhadap Israel yang sedang menghala ke arah matlamat Israel Raya atau dikenali sebagai Pax Judaica. Pax Judaica ini perlulah mendapat sokongan negara-negara sekitarnya iaitu Arab. Umum mendapati bahawa negara Arab yang paling famous ialah Arab Saudi.

Arab Saudi sejak sekian lama merupakan rakan kamcing Amerika sepertimana yang saya ceritakan tadi. Atas jasa besar Amerika yang membuatkan Arab Saudi menjadi kaya raya, maka sebab itulah Arab Saudi bersedia untuk memberi apa juga khidmat kepada mereka. Apatah lagi Arab Saudi memerlukan kuasa besar untuk menjaga negaranya. Justeru, apabila projek normalisasi ini berjalan, sudah pasti awal-awal lagi disambut oleh Arab Saudi.

Antara yang dinyatakan oleh Muhammad Salman secara jelas bahawa beliau menyambut baik usaha normalisasi tersebut dan bersedia membantu untuk menjayakan agenda Deal Of The Century (DOTC). Projek DOTC yang mula diperkenalkan sejak zaman Donald Trump sangat jelas ke arah membina Pax Judaica dengan kaedah mereka “matlamat menghalalkan cara”. Antara yang sedang dilakukan ialah menghalau penduduk Gaza ke Sinai.

Teknikel ini juga disambut baik oleh Mesir, iaitu negara Arab yang mirip dengan Arab Saudi. Muka Arab, cakap Arab, otak Amerika. Antara yang dinyatakan secara jelas, Muhammad bin Salman menyatakan bahawa Arab Saudi bersedia membantu Amerika untuk menjatuhkan Iran, yang merupakan pesaing kepada kuasa besar itu, termasuk menyelesaikan isu Palestin-Israel (DOTC).

Dokumentari yang disiarkan oleh Washigton Posts menerbitkan pengakuan David Ignatius, Penganalisis Ketenteraan, yang mendengar Muhammad bin Salman pernah menyatakan impian Arab Saudi untuk menjadikan Israel sebagai sebahagian daripada Timur Tengah (Asia Barat), dan bersedia untuk mengadakan hubungan perdagangan dan pengiktirafan terhadap Israel.

David juga mengakui bahawa beliau pernah hadiri pertemuan rahsia antara Putera Mahkota dan Benjamin Netanyahu dan beberapa pegawai yang lain seawal kenaikan Muhammad bin Salman sebagai Putera Mahkota di sebuah bot mewah di Laut Merah. Namun Adil al Jubayr, Menteri Hal Ehwal Antarabangsa mengatakan bahawa beliau tidak tahu menahu hal DOTC tersebut.

Manakala Diplomat Saudi pula menyatakan sokongan terhadap kenyataan Putera Mahkota kerana projek DOTC memberi kelebihan buat Arab Saudi dalam pelbagai aspek. Jelas di sini bahawa Arab Saudi sememangnya membuka tangan untuk menjayakan Projek Normalisasi Israel dan Projek Deal Of The Century (DOTC) sekalipun terpaksa menyebabkan penindasan terhadap rakyat Palestin.

Sengketa dengan jiran sebelah

Sepertimana yang telah diketahui, beberapa minggu lepas terjadinya pengeboman satu telaga minyak Aramco di Arab Saudi menyebabkan pengeluaran minyak terencat seketika. Tak lama selepas serangan tersebut, Houti terus mengaku bertanggungjawab terhadapnya melalui kenyataan Yahya Saree. Syarikat Digitalglobe cuba mengesan arah serangan tersebut yang bermula daripada satu koordinat yang tidak dapat dikesan.

Arab Saudi mula menuduh angkara Iran, kerana kesimpulan-kesimpulan yang mereka dapati bahawa sememangnya Iran mempunyai hubungan dengan Houti. Kesimpulan yang mereka buat ini berdasarkan pemerhatian terhadap konflik Yaman yang mulanya di”bakar” oleh Arab Saudi, namun akhirnya ia menguntungkan Iran. Bahkan merugikan Arab Saudi sendiri apabila Houti menyerang beberapa kali sempadan Arab Saudi.

Sebanyak 232 buah Misile Ballistic dan 258 buah drone menyerang dalam tempoh sebulan menjadikan ia antara serangan yang terbanyak dalam dunia. Arab Saudi seperti biasa menghabiskan berbillion Dollar untuk meningkatkan pertahanan udara mereka dengan membeli senjata daripada Amerika Syarikat. Isu konflik di Yaman dicetuskan oleh Arab Saudi, tetapi media memainkan isu pertembungan Sunni dan Syiah.

Bukan setakat itu, mereka juga mainkan isu pertembungan sesama Syiah. Iaitu Zaidiyyah sudah dianggap terkeluar daripada Syiah. Permainan isu seperti ini akhirnya menjerat Arab Saudi sendiri. Tak pelik sekiranya saya katakan konflik di Yaman pada asalnya bertujuan penguasaan AS terhadap laluan Tanduk Afrika yang bermula daripada Teluk Aden. Beberapa bulan lepas isu penguasaan Tanduk Afrika ini agak panas.

Konflik Yaman asalnya bergandingan antara Arab Saudi dan UAE, akan tetapi tak lama kemudian UAE menarik diri, meninggalkan Arab Saudi keseorangan berhadapan dengan Houti, ditambah pula dengan sokongan Iran yang sedang mengintai peluang. Akhirnya konflik Yaman berakhir dengan kerugian Arab Saudi, dan merebak kepada serangan Houti di sempadan Arab Saudi seolah olah “mencari pasal”. Sebab itulah Arab Saudi mengklasifikasikan pengeboman Aramco dilakukan oleh Iran.

Menuju ke ambang Liberalisasi

Antara krisis agama yang terbaru, berlaku di Arab Saudi apabila pendekatan yang dibawa oleh Muhammad bin Salman lebih jahiliyyah, liar dan Liberal. Selain daripada menjemput artis asing membuat konsert, Arab Saudi juga semakin meringan-ringankan prinsip-prinsip agama. Di awal penulisan ini saya ada menceritakan bagaimana generasi terawal Bani Saud, iaitu Muhammad bin Saud mula menerima dakwah daripada Muhammad bin Abd Wahab.

Pendekatan keras (syadid) terhadap prinsip Islam yang diperkenalkan oleh Muhammad bin Abd Wahab mendorong kepada kemaraan Bani Saud menghancurkan binaan di atas kubur kerana dianggap bid’ah. Tetapi generasi Bani Saud hari ini telah mengalami krisis prinsip apabila mereka sudah mula kelihatan longgar. Antaranya Arab Saudi membenarkan lelaki dan wanita warga asing menyewa bilik hotel bersama tanpa membuktikan mereka mempunyai hubungan.

Isu ini bermula dengan melancarkan pelaksanaan Visa baharu untuk menarik pelancong. Tindakan ini jelas membuka ruang kepada wanita yang tidak bermahram untuk melancong lebih mudah dan peluang bagi pelawat asing yang tidak berkahwin untuk tinggal bersama di situ. Antara pelaksanaan langkah itu, Arab Saudi mengeluarkan arahan bahawa pelancong tidak perlu lagi memakai jubah hitam keseluruhannya, asalkan berpakaian sopan.

Kelonggaran ini dilihat sebagai satu bentuk pelanggaran prinsip yang selama ini dijulang oleh mereka. Jelas bahawa Arab Saudi benar-benar menjadi rakan kamcing Amerika, yang dahulunya British. Berkhidmat melaksanakan agenda Amerika, untuk menjahanamkan negara-negara Islam. Walaupun dianggap negara Islam dan negara Arab, tetapi otak mereka adalah Amerika.

[1] https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1196133513913453/ – HARAKAHDAILY 8/10/2019

- Advertisement -
- Advertisement -